Home » » Pengaruh Media Sosial di Malaysia

Pengaruh Media Sosial di Malaysia

Written By Unknown on August 04, 2014 | 03:21

Media Sosial Malaysia
Perkembangan menarik peningkatan pengguna handphone mempengaruhi jumlah pengunjung laman web dan media sosial di Malaysia. Kemudahan kepada akses internet yang ada sekarang memudahkan pengguna mencari maklumat terkini terutamanya perkembangan isu semasa terutamanya berita politik, hiburan dan sukan.

Tetapi apakah implikasi dan kesannya?

Kesan dan Pengaruh Media Sosial

Kini segala maklumat mudah dikongsikan. Berita, gambar, foto peribadi dan juga video klip mudah disebarkan melalui media sosial serta mampu menjadi viral dalam sekelip mata. Penggunaan media sosial atau khususnya WEB 2.O seperti Facebook, Twitter, YouTube, Instagram dan blog menjadi medium utama perkongsian maklumat. Kebanyakannya adalah percuma, mudah untuk diakses serta begitu berpengaruh.

Statistik Pengguna Internet

Statistik terkini pengguna internet di Malaysia dijangka meningkat kepada 25 juta orang menjelang tahun 2015 menurut Laporan Ekonomi yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan pada Bajet 2014 lepas. Laporan tersebut juga menyatakan rakyat Malaysia menjadikan laman media sosial di Internet sebagai medium pengisian masa lapang berbanding televisyen, radio dan juga suratkhabar.
Kadar penembusan rangkaian sosial sebanyak 91 peratus dengan satu daripada tiga minit yang digunakan dalam talian adalah untuk rangkaian sosial. 11.8 juta rakyat dianggarkan mempunyai akaun Facebook dengan lebih 80 peratus melayari Internet untuk mengakses Facebook.
Laporan ini jelas menunjukkan bahawa Facebook adalah media sosial utama di Malaysia disamping Twitter dan terkini Instagram.

Kebebasan Media Sosial

Malaysia masih lagi mengamalkan kebebasan keatas penggunaan media sosial. Bagaimanapun perkembangan terkini terutama melibatkan isu politik semasa memungkinkan sekatan keatas kebebasan siber. Mantan Perdana Menteri, Dr. Mahathir baru-baru ini telah mengulangi gesaan agar Putrajaya mengenakan sekatan Internet kerana kesan negatifnya mampu menggugat kestabilan moral awam.
Saya tak peduli betapa sucinya hak kebebasan tetapi saya rasa sudah tiba masanya bagi kerajaan Malaysia menapis Internet. Internet berperanan besar dalam menggugat moraliti awam. Anak-anak kita tidak selamat daripada unsur lucah daripada media cetak dan elektronik.
Mungkin ada yang bersetuju malah ramai yang pastinya tidak bersetuju terutama berkaitan suara dan pendapat yang melibatkan isu politik dalam negara. Fakta ini jelas dimana pengaruh media sosial memberi kesan terhadap keputusan pilihanraya umum PRU-13 lalu.

Bagaimana pun dari segi moral terbukti banyak kebenarannya. Pengaruh terutama terhadap bahan lucah dan pornografi serta budaya negatif boleh memberikan kesan yang buruk terhadap kanak-kanak dan remaja. Peningkatan masalah sosial di Malaysia dikalangan remaja khususnya amat membimbangkan dan sepatutnya diberikan perhatian serta penekanan sewajarnya terutama sekatan terhadap bahan-bahan negatif daripada internet.

Soal baik dan buruk serta pengaruh laman web dan media sosial adalah bergantung kepada individu itu sendiri. Anda yang menentukannya!

0 comments :

Post a Comment